Tuesday, August 3, 2010

Qari Mesir, Qariah Pakistan Johan Tilawah al-Quran


Qari dari Mesir, Hani Abdel Aziz Ahmed dan qariah dari Pakistan, Samia Khanan masing-masing muncul johan bahagian qari dan qariah majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52, yang berakhir di sini malam ini. Hani memperoleh markah 91.46 peratus, manakala Samia mendapat 91.08 peratus.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM32,5000 (AS$ 10,000), piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan, yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tempat kedua bahagian qari dimenangi Wan Ainuddin Abdullah dari Malaysia yang mendapat 90.75 peratus markah dan ketiga, Abdul Wadoud K Esmail dari Filipina yang memperoleh 89.63 peratus markah.

Tempat kedua bahagian qariah pula dimenangi Dayang Nurfaezah Emran dari Brunei yang mengumpul 90.17 peratus markah, manakala tempat ketiga Monaifah A Bogabong Alawi dari Filipina yang memperoleh 88.75 markah.
Naib Johan menerima wang tunai berjumlah RM22,750 (AS$7,000), cenderamata dan sijil penyertaan, manakala pemenang tempat ketiga menerima wang tunai sebanyak RM13,000 (AS$4,000), cenderamata dan sijil penyertaan.

Bagi hadiah sagu hati pula peserta menerima RM4,875 (AS$1,500), cenderamata dan sijil penyertaan.

Seramai 72 peserta dari 45 negara mengambil bahagian dalam tilawah bertema 'Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah' yang berlangsung selama lapan hari sejak 27 Julai lalu. -sumber : Berita Harian


No comments:

Post a Comment