Mengikat kasih di Depoh Tahanan Imigresen Melaka
2011/01/01
MUHAMMAD Nurhisham mengucup pasangannya Siti Jawari dari Surabaya sambil diperhatikan Komandan Depoh Tahanan Machap Umboo, Abu Bakar Sidek Hasan (kiri) selepas majlis pernikahan tahanan depot di surau Al-Taiyibah di Alor Gajah, semalam.
Dengan sekali lafaz, Muhammad Nurhisham, 53, seorang pengusaha restoran dari Jalan Bendahara, Bandar Hilir, di sini selamat diijab kabul dengan Siti, 39, yang berasal dari Surabaya, Indonesia di Surau Al-Taiyibah di depoh berkenaan, tepat jam 11.56 pagi dengan mas kahwin RM40 pada majlis yang berlangsung sederhana.
Beliau yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 14 tahun, berkata majlis semalam sesuatu yang tidak dijangka, tetapi tetap gembira kerana berpendapat lokasi pernikahan bukan persoalan, asalkan caranya menepati ajaran Islam.
"Kami tidak mahu menunggu lama, sebab itu majlis ini diadakan secepat mungkin. Kita merancang dan Allah tentukan dan saya berharap selepas ini apabila isteri dibebaskan, dia akan menetap di negara ini bersama saya dan anak," katanya.
Bagi Siti yang masuk ke Malaysia pada 6 November lalu untuk menguruskan pernikahannya tetapi ditahan Imigresen di sebuah kompleks beli-belah di Bandar Hilir kerana disyaki bekerja tanpa permit, hatinya berbaur gembira dan sedih kerana terpaksa melangsungkan pernikahan di depoh tahanan.
“Apapun, saya berterima kasih kepada pihak imigresen terutama Abu Bakar kerana membenarkan kami melangsungkan majlis pernikahan di sini. Hari bahagia ini memang saya tidak akan lupakan,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 24 tahun di Indonesia.
No comments:
Post a Comment