Friday, June 10, 2011

Tak serik punya orang....

Seorang bekas banduan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret petang semalam kerana kesalahan mencuri seutas rantai emas kepunyaan ibu kandungnya.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mohd Safuan Azhar setelah menimbangkan pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya, rekod kesalahan lampau tertuduh serta kepentingan awam.

Ketika membacakan keputusannya, Safuan berkata memandangkan ini adalah kesalahan kedua, adalah sewajarnya tertuduh dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu 10 bulan penjara sebagai pengajaran kepadanya.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa tertuduh baru sahaja dibebaskan dari penjara setelah menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana terlibat dalam kes pecah masuk kedai tahun lepas.

Wilson Janting Tiaw, 23, dari Bandar Baru Permyjaya, Miri, Sarawak telah didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 bulan dan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, pada 8 Jun lalu, pengadu Kanih Abeng telah membuat laporan polis di Balai Polis Lutong.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa pada jam 6 petang hari sama, beliau mendapati seutas rantai emasnya telah hilang. Dia mengesyaki kecurian itu telah dilakukan oleh seorang anak lelakinya.

Pengadu telah memberitahu suaminya tentang kehilangan rantai emas itu dan serentak itu suami pengadu dengan dibantu menantunya telah mencari anak lelakinya itu dan berjaya menemukannya di kawasan berhampiran KFC E-mart Miri.

Hasil pemeriksaan ke atas anaknya itu telah menjumpai rantai emas yang dikatakan hilang dan sejurus itu pengadu lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Sekitar jam 7 malam, 8 Jun lalu, polis berjaya menangkap tertuduh dan merampas rantai emas tersebut.

Siasatan polis mendedahkan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan sering menimbulkan masalah dalam keluarga serta kerap mencuri barangan milik ahli keluarga mereka.

Dalam percakapan berhematnya yang dirakamkan polis, tertuduh mengaku mencuri rantai emas tersebut untuk digadai bagi mendapatkan wang untuk berjudi, membeli minuman keras dan dadah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mizlan Abdul Ghani.

No comments:

Post a Comment