Wednesday, May 25, 2011

Hari Kelepasan Am Tambahan


Kerajaan memutuskan supaya satu hari kelepasan am tambahan 2011 ditetapkan bagi seluruh negara berikutan hari kelepasan am sempena Hari Raya Puasa dijangka bertindih de-ngan Hari Kebangsaan pada Rabu, 31 Ogos depan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata satu hari kelepasan am tambahan yang ditetapkan itu bagaimanapun akan tertakluk kepada pengumuman tarikh Hari Raya Puasa oleh Majlis Raja-Raja kelak.

Sekiranya Hari Raya Puasa (Hari Pertama) jatuh pada Selasa, 30 Ogos 2011 dan Hari Raya Puasa (Hari Kedua) dan Hari Kebangsaan bertindih pada Rabu, 31 Ogos 2011 maka Khamis, 1 September 2011 ditetapkan sebagai hari kelepasan am tambahan, katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sekiranya Hari Raya Puasa (Hari Pertama) jatuh pada Rabu, 31 Ogos 2011 dan bertindih dengan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Puasa (Hari Kedua) pula jatuh pada Khamis, 1 September 2011 maka Jumaat, 2 September 2011 ditetapkan sebagai hari kelepasan tambahan.

Mohd Sidek berkata satu hari kelepasan am tambahan ini bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan diwartakan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951.

“Urusan pewartaan bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak, masing-masing berdasarkan Seksyen 9 Ordinan Hari Kelepasan Sabah [Sabah Bab 56] bagi negeri Sabah dan Seksyen 5 Ordinan Hari Kelepasan Am Sarawak [Sarawak Bab 8] bagi negeri Sarawak sedang diuruskan oleh kerajaan negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata pengumuman ini diharap dapat mengelak kekeliruan di kalangan orang awam terhadap hari-hari kelepasan am tersebut dan membolehkan perancangan awal dibuat untuk menyambut perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Kebangsaan kelak.

No comments:

Post a Comment